Monday, December 10, 2012

Pengenalan AES: Silibus pengajaran di institusi memandu akan diperbaharui semula


SHUHAILI menjawab soalan pihak media sambil diperhatikan oleh Nazili dan Anwar.



TAWAU: Silibus pengajaran di institusi memandu kini dalam peringkat kajian diperbaharui semula untuk disesuaikan dengan pengenalan kamera pengawasan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di seluruh negara.


Menurut Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabah, Hj Mohd Shuhaili Mohd Taufek, transformasi aspek penguatkuasaan menerusi AES itu masih dalam peringkat perbincangan dan pihaknya mengakui pembaharuan silibus pengajaran terbabit boleh dilakukan.


“Selama ini pun silibus pengajaran di institusi memandu sudah selalu diperbaharui untuk disesuaikan dengan tuntutan semasa, dan pihak persatuan (institusi memandu) masih lagi membincangkan tentang perkara itu,” katanya.


Shuhaili berkata demikian selepas menyampaikan taklimat AES sempena Majlis Dialog Bersama Pengusaha-Pengusaha Institut Memandu Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan di Institut Memandu Cemerlang di sini kelmarin.


Hadir sama, Ketua Cawangan JPJ Tawau, Nazili Kadir, Pengarah Urusan Institut Memandu Cemerlang, Hj Anwar Yeo Abdullah dan para pengusaha serta tenaga pengajar dari 24 institut memandu di negeri ini.


Tambahnya, aspek pendidikan juga tergolong dalam empat perkara utama yang ditekankan dalam konsep 4E yang memberi tumpuan kepada aspek penguatkuasaan, pendidikan, kejuruteraan dan persekitaran.


Mengulas mengenai maklum-balas para pengusaha dan tenaga pengajar di institut-institut memandu berhubung AES pula, beliau mendedahkan bahawa rata-rata mereka yang ditemuinya bersetuju dengan pengaplikasian sistem terbabit.


“Barangkali sebelum ini mereka terkeliru dengan kenyataan-kenyataan segelintir pihak yang mengatakan kononnya kerajaan ingin mendenda rakyat menerusi pengenalan AES, tetapi selepas diberikan penerangan mereka boleh menyambutnya dengan terbuka,” katanya.


Menyentuh tentang perkara berkaitan, Shuhaili menyifatkan pengenalan AES juga bermakna pemantauan penguatkuasaan akan menjadi lebih baik apabila pihak penguatkuasa kini ‘dirobotkan’ berbanding menggunakan tenaga manusia.


Beliau berkata, penambah-baikan dari sudut penguatkuasaan had laju dan pematuhan peraturan jalan raya di kalangan masyarakat pengguna akan dapat dibentuk secara tidak langsung, selain mengikis tanggapan pegawai dan anggota JPJ mengambil rasuah.


Untuk rekod, Tawau merupakan daerah pertama di Sabah yang dikunjungi khusus oleh JPJ Negeri dalam siri jelajah penerangan mengenai pemasangan AES kepada jabatan-jabatan awam, media dan institusi memandu di negeri ini termasuk Labuan.






Sumber=Suapan Berita Utama

0 comments:

Post a Comment

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More