SEDIH: Mariah tidak dapat menahan perasaan sedih ketika ditemui di rumah mangsa di Sungai Karap, Bakong semalam.
MIRI: Ibu kepada pekerja balak, Irwanshah Radin, 26, yang hilang semasa membuang air besar di Sungai Karap, Bakong malam Sabtu lalu berharap mayat anaknya itu dapat ditemui dalam masa terdekat untuk dikebumikan di Daro.
Mariah Ismail, 49, ibu tunggal kepada 11 anak berkata, Irwanshah amat dekat dengan keluarga terutama adik bongsu perempuannya.
“Saya tidak menduga sama sekali perkara buruk ini berlaku memandangkan saya selalu mengingatkan dia agar tidak menghampiri sungai tersebut,” katanya ketika ditemui di kediaman mangsa terletak kira-kira 50 meter dari tempat Irwanshah dipercayai diheret oleh reptilia berkenaan.
Mariah tiba di sini dari Daro malam Isnin lalu, sebaik sahaja dimaklumkan mengenai kejadian tersebut.
Dalam perkembangan yang sama, beliau memberitahu masih mempertimbang cadangan untuk menggunakan khidmat bomoh yang mempunyai pengalaman untuk mencari mayat anaknya yang sudah dimakan oleh buaya.
“Buat masa ini, saya tidak berani meminta bantuan daripada mana-mana bomoh kerana masih baharu di sini dan tidak biasa de-ngan penduduk dan kawasan ini.
“Namun, jika ada bomoh yang sudi membantu untuk mencari anak saya sudah pasti saya gembira dan menghargainya.
“Saya hanya mahu anak saya dijumpai, walaupun hanya bahagian kaki atau tangan sahaja,” katanya dengan nada sedih.
Mariah menambah, adik-beradik Irwanshah yang lain kini menunggu di Daro.
Sementara itu, Saimah Bakar, 58, berkata mereka kerap melihat buaya yang mempunyai saiz sepanjang lima meter di tebing sungai tersebut.
“Kami selalu diingatkan agar tidak menghampiri sungai tersebut, malah pengurus kami pernah memberi amaran untuk tidak ke sungai itu,” katanya.
Sementara itu, operasi mencari dan menyelamat yang kini memasuki hari ketiga masih diteruskan dengan bantuan beberapa anggota polis daripada Balai Polis Beluru dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Marudi.
Sumber=Suapan Berita Utama
0 comments:
Post a Comment