Friday, April 12, 2013

Hamza dinaikan pangkat ke Komisioner Polis


Ismail (kiri) memakaikan pangkat kepada Hamza dalam majlis di Mes Pegawai Kanan, Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) di sini kelmarin.



KOTA KINABALU: Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib dinaikkan pangkat kepada Komisioner Polis(CP) berkuatkuasa kelmarin.


Beliau yang sebelum ini berpangkat pemangku CP kekal dengan jawatan sekarang.


Pemakaian pangkat beliau disempurnakan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dalam satu majlis di Mes Pegawai Kanan, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini kelmarin.


Antara lain turut dipakaikan pangkat dan pertukaran jawatan adalah Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Abd Rashid Harun yang ditukarkan kepada Komander Pasukan Keselamatan PDRM bagi Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom), Ketua Pengarah Bahagian Perlindungan Keselamatan Cawangan Khas, Bukit Aman, Datuk Ahmad Nadzer Nordin kepada Ketua Perisikan Bersama Esscom dan Timbalan Komander Pasukan Gerakan Am (PGA), Kamarul Bahrin Mohammad kepada Ketua Staf Briged PGA Esscom.


Mengulas mengenai pemakaian pangkat itu, Ismail menyeru kepada warga PDRM khususnya Kontinjen Sabah untuk berusaha gigih dalam memastikan keselamatan terus terjamin terutamanya ketika menghadapi insiden pencerobohan pengganas di Lahad Datu.


“Kita merakamkan penghargaan tidak terhingga kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pertahanan kerana mengiktiraf penglibatan PDRM dalam Ops Daulat di Lahad Datu menerusi majlis pemakaian pangkat ini.


“Bagi saya, pemakaian pangkat ini menunjukkan keprihatinan pihak kementerian yang terlibat dalam meneruskan agenda memastikan kesejahteraan rakyat terjamin selain mengukuhkan tahap keselamatan di kawasan Pantai Timur,” katanya.


Sementara itu, Hamza dalam ucapannya menyatakan rasa ‘gemuruh’ sebaik menerima berita pemakaian pangkat terbabit namun berjanji akan berusaha lebih gigih dalam menggalas mandat berkenaan.


“Secara peribadi saya berasakan tugas ini adalah mencabar dan kejayaannya tidak akan dapat dicapai tanpa sokongan segenap pihak terutamanya pihak Tan Sri Ismail serta seluruh kontinjen PDRM Sabah.


“Namun kita berjanji akan menggalas tugas yang diamanahkan ini dengan lebih bertanggungjawab dalam memastikan keselamatan rakyat Sabah khususnya ketika sedang menghadapi insiden di Lahad Datu serta persiapan menjelang pilihan raya umum nanti,” katanya.


Berasal dari Jasin, Melaka, Hamza sebelum ini pernah memegang jawatan Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman selain Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak selama dua tahun sebelum dilantik sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah bermula tahun 2010 sehingga kini.






Sumber=Suapan Berita Utama

0 comments:

Post a Comment

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More