Monday, April 1, 2013

Lima kapal APMM bakal perkuat usaha tangani krisis di Pantai Timur

ANTARA kapal yang diterima APMM dalam memperkuatkan aset sedia ada bersempena Ops Daulat di Pantai Timur.

ANTARA kapal yang diterima APMM dalam memperkuatkan aset sedia ada bersempena Ops Daulat di Pantai Timur.



KOTA KINABALU: Kehadiran lima kapal untuk digunakan bagi pelaksanaan Ops Daulat di perairan Lahad Datu dan Semporna bakal menguatkan lagi aset sedia ada dalam usaha menangani krisis di Pantai Timur itu.


Ketua Penguatkuasa Maritim Wilayah Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim M Karunanithi berkata kehadiran kapal-kapal berkenaan turut akan memperluaskan skop rondaan dan kawalan di sekitar kawasan operasi sekaligus mempertingkatkan lagi tahap keselamatan di lokasi terbabit dari masa ke semasa.


Menurut beliau, kelima-lima kapal yang diterima Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Sabah dan Labuan tempoh hari akan ditempatkan di sekitar kawasan Ops Daulat yang sedang dilaksanakan kini.


“Kehadiran kapal ini juga bertujuan untuk menambahkan lagi kekuatan aset yang sedia ada di samping memperluaskan skop rondaan dan kawalan di sekitar kawasan operasi.


“Selain itu, tujuan penambahan aset dan anggota ini adalah bagi mempertingkatkan lagi tahap keselamatan serta memastikan tiada penceroboh yang akan terlepas keluar atau masuk dari perairan Malaysia,” katanya.


Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan medianya di sini kelmarin.


Dalam perkembangan lain, Karunanithi turut mengingatkan semua anggota APMM untuk bertugas dengan penuh komitmen dan dedikasi dalam memastikan tiada perkara tidak diingini berlaku sepanjang kelansungan Ops Daulat.


“Saya mahu mengingatkan kepada semua anggota supaya betugas dengan penuh komitmen dan jangan sesekali mengabaikan keselamatan diri dan negara agar tiada perkara yang tidak diingini berlaku sepanjang Ops Daulat ini berlangsung.


“Sementara itu, saya juga mahu mengambil kesempatan untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua anggota yang terlibat kerana memberikan kerjasama yang baik dalam melaksanakan operasi ini,” katanya.


Terdahulu, majlis penerimaan kapal itu telah diadakan di Jeti Pengkalan TLDM Sepanggar pada minggu lalu yang turut menyaksikan kehadiran Pengarah Operasi Wilayah, Kepten Maritim Adam Aziz dan Ketua Penguatkuasa Maritim Daerah Kota Kinabalu, Kepten Maritim Amir Azwa Mohd Alias.






Sumber=Suapan Berita Utama

0 comments:

Post a Comment

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More